Latar Belakang Global Peace Mission Malaysia

Global Peace Mission (GPM) Malaysia ialah sebuah Yayasan Amanah yang diperbadankan dibawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM). Ianya ditubuhkan pada 26 September 2001 sebagai sebuah gerakan yang membantah pengisytiharan perang oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap negara Afghanistan[1] selepas peristiwa serangan 11 September 2001. Apabila Afghanistan diserang pada awal Oktober tahun yang sama, GPM telah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan bagi membantu mereka yang menjadi mangsa kepada peperangan tersebut.

Semenjak itu, selain daripada giat menyalurkan bantuan kecemasan, GPM juga menyalurkan bantuan-bantuan kemanusiaan yang lain bukan sahaja ke bumi Afghanistan, malah kepada hampir 20 buah negara yang memerlukan di seluruh dunia. GPM mula menggerakkan bantuan seperti projek rehabilitasi bagi membantu pemulihan mangsa-mangsa perang, pembangunan pusat-pusat pendidikan dan latihan vokasional untuk pelarian dan mangsa bencana secara berperingkat, serta program pembangunan dan keupayaan dalam aspek sosioekonomi dan sara hidup.

GPM telah bergerak aktif menyedarkan kepentingan memupuk dan memelihara keamanan sejagat melalui program-program kesedaran dan penerangan untuk masyarakat serta mengumpul dana untuk membantu mangsa-mangsa peperangan serta bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebuluran dan juga tsunami.